Saya mengenali sahabat ini 4 tahun lalu, kebetulan saya belajar di tempat yang sama beliau bekerja, salah sebuah institusi pengajian tinggi tahfiz di Kelantan. Penulis berasa selesa bersamanya yang penulis panggil namanya di sini dengan nama Man. walaupun dia seorang yang buta. Sejak itu kami mula berkawan walaupun pada peringkat awal kami 'bergaduh besar'dek kerana fitnah dan hasutan mereka - mereka yang benci dengan hubungan kami pada suatu ketika dulu.

Namun hubungan kami selama 4 tahun ini sekarang diuji dengan perasaan tidak percaya penulis kepada beliau dengan tuduhan - tuduhan yang dilemparkan oleh rakan kami yang merupakan seorang peguam. Tuduhan dan fitnah yang direncanakan cukup membuatkan penulis sangsi kepada sahabat penulis ini yang merupakan seorang yang hafiz Al Quran. Oleh kerana baru - baru ini sahabat baik penulis ini telah menyembah permohonan untuk memohon kawasan balak kepada pengetahuan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad Ke 5 dan akan mengadakan 'joint venture' (JV) dengan peguam tadi maka episod menyedihkan cerita ini bermula apabila usaha sama tersebut tidak jadi dan sahabat penulis tadi telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan seorang ahli korporat yang lain yang penulis panggil Datuk Wan.

Sejak itu, peguam tadi mula menaburkan fitnah bahawa beliau telah dipergunakan oleh sahabat penulis tadi akan berusaha untuk menjatuhkan balik sahabat penulis yang kian naik di mata masyarakat itu. Segala tuduhan yang dilemparkan cukup membuatkan penulis berasa sangsi dan curiga kepada sahabat baik penulis tadi iaitu man.

Namun penulis mesti mengambil langkah berjaga - jaga kerana yang menimbulkan fitnah itu adalah individu yang berkepentingan dalam projek tersebut dan beliau melakukan perbuatan tersebut kerana atas dasar tidak puas hati kerana tidak ada syer dalam projek pembalakan tersebut yang bernilai ratusan juta ringgit mengikut taksiran semasa. Penulis juga berada dalam keadaan dilema kerana persoalan yang ditimbulkan ini adalah melibatkan krisis keyakinan kepada sahabat penulis sendiri. Penulis perlu mengkaji setiap persoalan yang timbul supaya penulis boleh mengenal pasti siapa yang berada di pihak benar dan sebaliknya.

Penulis juga dimaklumkan bahawa perkara ini akan dipersembah maklum kepada Ke Bawah DYMM Tuanku Al Sultan Kelantan untuk makluman baginda Tuanku. Baginda Tuanku sekarang masih lagi berada di Jerman kerana mengikuti seminar berkaitan persenjataan di sana dan belum pulang ke tanah air.

Peristiwa yang berlaku ini menyebabkan penulis bingung dan terkilan jika benar dkawaan peguam tadi tentang sahabat baik penulis iaitu Man. Ini juga meninggalkan kesan mendalam dalam diri penulis tentang perlu sentiasa berwaspada tidak kira dengan sesiapa sahaja walaupun kawan baik kita.

Tapi setelah mendapatkan pendapat sahabat - sahabat penulis yang lain maka penulis menganggap ini adalah sebagai 'mehnah' ( ujian ) kepada diri penulis dalam proses mengukuhkan ukhuwwah di antara penulis dengan Man. Lagipun tuduhan yang dilemparkan amsih belum dibuktikan dengan bukti - bukti kukuh dan hanya menggunakan saksi - saksi daripada mereka - mereka yang penulis tidak kenal dan penulis meragui kesahihan cerita saksi - saksi tersebut.

Walau bagaimanapun penulis masih mengambil langkah berhati - hati dalam berkawan dengan sesiapa. Tapi ini mungkin juga Allah nak ajar penulis supaya lebih matang dan rasional lagi dalam membina tautan ukhuwwah di antara sesama muslim..

Penulis akan sambung cerita ini pada SIRI KEDUA AKAN DATANG...
PENDAHULUAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah menitahkan supaya kerja-kerja kebajikan berteraskan keagamaan, sosio ekonomi, pendidikan dan kewangan di Negeri Kelantan diberi perhatian utama dan diuruskan secara tersusun dan berterusan. Sehubungan dengan itu, Baginda menitahkan supaya Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim ditubuhkan sebagai salah satu mekanisma bagi mencapai hasrat tersebut.

Yayasan ini telah diluluskan penubuhannya dan Sijil Pemerbadanan telah diberikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 dan diperbadankan dengan nama PEMEGANG AMANAH YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dengan nombor pendaftaran PPAB-16/2010. Alamat berdaftar Yayasan ini adalah Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, 15500 Kota Bharu, Kelantan.

OBJEKTIF

Di antara lainnya penubuhan Yayasan ini adalah bertujuan bagi memberi penekanan kepada aspek-aspek yang berteraskan agama, kebajikan dan pendidikan sebagaimana berikut:-

1. Agama

I. Memberi bantuan kewangan atau biasiswa bagi tujuan pendidikan agama kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim menurut syarat-syarat dan kelayakan-kelayakan yang boleh ditetapkan oleh Yayasan dari semasa ke semasa;
II. Memberi bantuan kewangan kepada individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan yang menjalankan gerakan dakwah atau usaha untuk meninggikan syiar Islam dengan syarat individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan itu telah mendapat kebenaran Kerajaan untuk menjalankan gerakan dan usaha serta gerakan atau usaha itu adalah untuk kebaikan serta memberi faedah kepada Negeri Kelantan Darulnaim atau Negara;
III. Memberi bantuan bagi pembinaan, pengurusan atau pemulihan Sekolah-Sekolah Agama, Masjid-Masjid dan Madrasah-Madrasah yang diusahakan oleh mana-mana individu atau pertubuhan atau badan bukan Kerajaan

2. Kebajikan

I. Mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim dengan mengadakan skim bantuan kepada orang miskin, orang cacat serta orang-orang yang tidak bernasib baik atau ditimpa bencana alam atau musibah.

3. Pendidikan

I. Memberi sumbangan derma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan dari segi bayaran yuran sekolah, buku, alat projek, pakaian seragam sekolah, kenderaan, yuran peperiksaan dan elaun tanggungan menurut syarat-syarat dan kelayakan yang boleh dikenakan oleh Yayasan dari masa ke semasa. Bantuan itu tidak terhad kepada mana-mana peringkat pengajian bergantung kepada budi bicara Yayasan.
II. Memberi bantuan kepada mana-mana institusi pengajian tinggi di Negeri Kelantan atau mana-mana institusi pengajian dalam Negara bagi menjalankan usaha penyelidikan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi, sosial, kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan.

PENAUNG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V adalah penaung kepada Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar.

LEMBAGA PEMEGANG AMANAH

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ini adalah sebagaimana berikut:-

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri bin Alias (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan)

Bendahari Kehormat: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi bin Haji Che Mamat
(Pegawai Kewangan Negeri Kelantan)

Setiausaha Kehormat: Yang Berhormat Dato’ Sukri bin Haji Mohamed

Ahli: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusoff bin Tun Syed Nasir
Yang Berhormat Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh

KEWANGAN

Yayasan boleh melaksanakan perkara-perkara berikut bagi mencari sumber kewangannya:-
1. Mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti perusahaan komersil dan industri yang sesuai dengan konsep dan tujuan Yayasan.
2. Membeli, menjamin atau sebaliknya mendapatkan sebarang stok dan saham.
3. Mengadakan apa-apa aktiviti bagi mengumpul dana untuk digunakan bagi tujuan yang bersesuaian dengan tujuan penubuhan Yayasan.
4. Menerima apa-apa sumbangan dalam sebarang bentuk termasuk wang tunai dari Kerajaan Negeri atau Persekutuan, individu, agensi-agensi Kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan.

PENGURUSAN KEWANGAN

Akaun Yayasan ini akan diaudit oleh Akauntan yang dilantik oleh Yayasan dan hendaklah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri setiap tahun sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 15 Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

MAJLIS PELANCARAN

Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre pada 7 Mei 2011 jam 8.00 malam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan untuk menyempurnakan pelancaran Yayasan ini pada malam tersebut. Di majlis tersebut juga acara santapan malam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V akan diadakan. Seramai 2000 dif jemputan dan tetamu akan dijemput menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada:-
1. Pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Negeri
2. Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
3. Ketua Badan-badan Korporat dan Syarikat berkaitan Kerajaan
4. Ketua Badan-Badan Bukan Kerajaan
5. Ahli-ahli Korporat dan Perniagaan
6. Penderma
7. Tetamu-Tetamu Yayasan

Pihak Yayasan juga telah menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah bt. Mansor, Yang Amat Berhormat Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee bt. Abdul Rahman dan beberapa orang Menteri Kabinet untuk hadir di majlis berkenaan.

JAWATAN KUASA MAJLIS PELANCARAN YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR DAN MAJLIS SANTAPAN MALAM BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD V

Satu Jawatan kuasa telah ditubuhkan bagi menjayakan Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar dan Majlis Santapan Malam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V ini. Jawatan kuasa tersebut adalah terdiri daripada:-

Pengerusi: Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim (Tengku Laksamana Kelantan)

Timbalan Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri Bin Alias (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan)

Bendahari: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi Bin Haji Che Mamat (Pegawai Kewangan Negeri Kelantan)

Setiausaha: Yang Berhormat Dato’ Sukri Bin Haji Mohamed

Timbalan Setiausaha: Yang Amat Berusaha Tuan Haji Shafie Bin Ismail
(Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan))

Penolong Setiausaha: Yang Berusaha Encik Mohd Kamal Azarul Azmi Bin Omar
(Setiausaha Sulit kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan)

Ahli: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusof Bin Tun Syed Nasir
Yang Berhormat Dato’ Haji Che Mohd Rahim Bin Haji Jusoh
Yang Berhormat Dato’ Dr. Awang Adek Bin Hussin
Yang Berhormat Dato’ Haji Takiyuddin Bin Haji Hassan
Yang Berhormat Mulia Kapten Dato’ Tengku Ahmad Farizanudean Bin Dato’ Khairi
Yang Dihormati DCP Dato’ Pahlawan Zulkifli Bin Abdullah
Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Bin Mahmood
Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Hamat
Yang Berhormat Dato’ Nik Mohd Shafriman Bin Nik Hassan
Yang Berbahagia Dato’ Azlan Meah Bin Hj Ahmed Meah
Yang Berbahagia Datuk Dr. Noordin Bin Ab. Razak
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Kaisan Bin Ab Rahman
Yang Berbahagia Dato’ Faridah Begum Bt Abdul Kader
Yang Berusaha Kapt (B) Wan Marzudi Bin Dato’ Wan Omar

Di samping itu beberapa Jawatan Kuasa Kecil juga telah ditubuhkan bagi melicinkan perjalanan majlis iaitu:-

JAWATAN KUASA KERJA

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri Bin Alias

JAWATAN KUASA KECIL PENAJAAN DAN KEWANGAN

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi Bin Haji Che Mamat

JAWATAN KUASA KECIL PERSIAPAN TEMPAT

Pengerusi: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusof Bin Tun Syed Nasir

JAWATAN KUASA KECIL PERSEMBAHAN

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Sukri Bin Haji Mohamed

JAWATAN KUASA KECIL JAMUAN

Pengerusi: Yang Berbahagia Datuk Dr. Noordin Bin Ab. Razak

JAWATAN KUASA KECIL KESELAMATAN DAN LALU LINTAS

Pengerusi: Yang Dihormati DCP Dato’ Pahlawan Zulkifli Bin Abdullah

PENERIMAAN SUMBANGAN

Sempena dengan Majlis Pelancaran dan Majlis Santapan Malam tersebut, Yayasan mengalu-alukan sumbangan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan individu-individu bagi mengisi dana Yayasan. Yayasan berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM5 juta sempena majlis tersebut. Bagi maksud berkenaan, Yayasan akan mengeluarkan surat memohon sumbangan daripada pihak-pihak berkenaan dalam tempoh terdekat. Yayasan juga telah mengemukakan permohonan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia bagi memohon kelulusan pelepasan Cukai Pendapatan di bawah Sub Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sumbangan dalam bentuk cek dan bank draf boleh dibuat sebagaimana berikut:-
i) Bayar Kepada - Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim
ii) No. Akaun - 008-105-00034-4
iii) Institusi Kewangan - Kuwait Finance House

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkara ini boleh dibuat melalui talian-talian berikut:-
1. Y.A.Brs. Tuan Haji Shafie bin Ismail - 019-9808414
2. Y.Brs. Encik Mohd Kamal Azarul Azmi bin Omar - 012-9695501
3. Y.Brs. Encik Mohd. Roshdi bin Ismail - 013-9231886

Yayasan ini juga boleh dihubungi melalui e-mail berikut:- ysk@kelantan.gov.my

SUMBANGAN RAKAN-RAKAN MEDIA

Sumbangan rakan-rakan media adalah amat diperlukan dan dialu-alukan oleh Yayasan bagi menjayakan majlis pelancaran ini dengan cara memberi hebahan dan laporan dan liputan yang seluas-luasnya bagi makluman awam sebelum, semasa dan selepas majlis berkenaan.

CADANGAN AKTIVITI BAGI TAHUN 2011

Bagi tahun 2011, Yayasan ini telah merangka aktiviti sebagaimana berikut:-
1. Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur: 7hb. Mei 2011
2. Pengurniaan bantuan kenderaan, pakaian sekolah kepada pelajar miskin seluruh Negeri Kelantan: Jun 2011
3. Pengurniaan bantuan kewangan kepada golongan miskin tegar dan ibu tunggal: Julai 2011
4. Pengurniaan mesin kepada pengusaha-pengusaha industri kampung: Ogos 2011
5. Pengurniaan alatan bantuan pendengaran, kerusi roda kepada orang-orang kurang upaya: September 2011
6. Pengurniaan mesin hemodialysis kepada hospital terpilih: Oktober 2011
7. Pengurniaan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir/bencana alam: Oktober/November/Disember 2011

PENUTUP

Bagi pihak Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah dan akan memberikan kerjasama bagi menjayakan hasrat murni Yayasan.

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang memberikan kerjasama menjayakan Majlis Pelancaran dan Santapan Malam ini. Dengan pelancaran Yayasan ini adalah diharapkan agar segala objektif murni yang dirangka akan dapat direalisasikan.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

* SEMOGA ALLAH MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT *

Dengan hormatnya,


(DATO’ SERI SETIA RAJA DATO’ HAJI MOHD AISERI BIN ALIAS)
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar
Merangkap
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan

Bertarikh: 13 Rabiul Awal 1432H/16 Februari 2011



Laporan-laporan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Kosmo! pada muka surat 3 (Tawaran tidak diterima: Sultan Ismail tidak dimaklumkan penubuhan panel kesihatan), Berita Harian pada muka surat 4 (Sultan Ismail tolak khidmat perubatan kerajaan negeri), Harian Metro pada muka surat 14 (Khidmat perubatan: Bekas sultan tolak tawaran) dan the New Straits Times pada muka surat 22 (Sultan Ismail Petra declines offer) akhbar masing-masing pada hari ini, 9 Februari 2011, adalah dengan ini dirujuk.

Di sini kami ingin merakamkan kekesalan kami kerana penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Keistimewaan dan Keselamatan Sultan Ismail Petra yang mempunyai tujuan yang sangat murni itu telah dijadikan sebagai satu isu murahan oleh pihak tertentu.

Sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan adalah semata-mata bagi memastikan keistimewaan, kebajikan dan keselamatan Sultan Ismail Petra yang masih lagi berada di dalam keadaan gering sentiasa terjamin.

Kami ingin menegaskan di sini mengenai ketidakyakinan kami bahawa kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud mengenai penolakan Sultan Ismail Petra ke atas penubuhan jawatankuasa ini adalah sebenarnya dibuat di atas arahan Baginda.

Adalah menjadi sesuatu yang lumrah kepada sesiapa sahaja yang sedang menghadapi masalah kesihatan, apatah lagi masalah itu adalah sesuatu yang serius, untuk mengalu-alukan apa sahaja bentuk bantuan perubatan yang ditawarkan oleh mana-mana pihak.

Tidak berbangkit sama sekali persoalan meminta izin dari Sultan Ismail Petra ke atas penubuhan jawatankuasa ini kerana, sepertimana yang dimaklumi oleh semua pihak, kegeringan Baginda menyebabkan keperluan untuk berbuat demikian tidak wujud.

Tidak berbangkit juga persoalan memaksa Sultan Ismail Petra menerima rawatan di luar dari kerelaan Baginda, kerana Baginda dikatakan sudah sedia menerima rawatan yang cukup baik, memandangkan fungsi jawatankuasa ini hanyalah untuk memantau sahaja.

Tambahan pula, penubuhan jawatankuasa ini adalah dibuat sebagai menjunjung titah anakanda sulung Sultan Ismail Petra sendiri yang juga merupakan al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, yang amat prihatin sekali ke atas kebajikan ayahanda Baginda.

Selaku seorang anak yang taat kepada ajaran agama Baginda, Sultan Muhammad Ke-V lebih mengetahui keperluan Sultan Ismail Petra dan adalah amat tidak munasabah untuk Baginda melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan ayahanda Baginda.

Suasana di Kelantan sejak kebelakangan ini sudah amat tenang manakala kedudukan Sultan Muhammad Ke-V selaku Sultan Kelantan yang sah juga telah diakui oleh pelbagai badan berwibawa dalam negara, termasuklah juga oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Adalah satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab untuk mana-mana pihak cuba mengeruhkan semula keadaan di Kelantan dengan menimbulkan apa-apa isu yang boleh mengocak kembali ketenangan yang sudah mula dinikmati oleh rakyat Kelantan.

Tumpuan semua pihak pada waktu ini sepatutnya terarah kepada usaha-usaha untuk menjaga kebajikan Sultan Ismail Petra di samping kepada usaha-usaha untuk menautkan kembali jalinan persaudaraan di antara ahli-ahli usrah keluarga di-raja Kelantan.

Usahlah lagi diteruskan usaha-usaha yang hanya merendahkan martabat diri dengan menghebahkan betapa Sultan Ismail Petra sudah semakin pulih kerana gambar-gambar Baginda yang dipaparkan oleh media dapat dinilai dengan jelas oleh semua pihak.

Di sebalik cubaan memperbodohkan rakyat melalui media ini, Sultan Ismail Petra sepatutnya dibawa untuk bersembahyang Jumaat di mana-mana masjid atau dibawa beramah mesra dengan rakyat di dalam mana-mana majlis jika benar Baginda sudah pulih.

Rakyat hanya akan meyakini bahawa titah Sultan Ismail Petra adalah sebenarnya titah Baginda apabila titah itu keluar dari mulut Baginda sendiri serta didengar dan disaksikan sendiri oleh rakyat, sama ada secara terus atau melalui rakaman media.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak yang menjaga dan mengawal Sultan Ismail Petra supaya tidak lagi menghalang mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadap Baginda dari berbuat demikian demi kebaikan Baginda sendiri.

Adalah satu perkara yang sangat menggelikan hati apabila anda menyebut betapa pihak-pihak tertentu kononnya enggan menghadap Sultan Ismail Petra sedangkan pada hakikatnya andalah yang terus-terusan menghalang mereka dari menghadap Baginda.





Tuanku Sultan Muhammad Ke 5 meluangkan masa untuk melawat tapak kebakaran membabitkan 43 keluarga di Bandar Lama Gua Musang di samping memberikan bantuan material dan sokongan moral kepada kesemua mangsa yang terlibat. Bantuan segera disampaikan untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa - mangsa terbabit. Dengan kehadiran Tuanku Sultan Muhammad Ke 5 mencemar duli berangkat menemui mangsa - mangsa terbabit sedikit sebanyak mengubat kesedihan mereka di samping menerima bantuan kilat daripada baginda. Allahu Akbar


Pada hari Rabu, 5hb Januari 2011, Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat (D.K.) Selangor Yang Amat Dihormati oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V dan Pengurniaan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Al-Muhammadi) (S.P.M.K) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, dengan penuh adat istiadat dan tradisi kesultanan Melayu.
Alhamdulillah, pada hari Selasa, 28 Disember 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, beserta rombongan Baginda telah selamat berangkat ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B di Gua Musang.

Baginda, yang memandu sendiri range rover putih Baginda yang membawa tiga orang sahabat Baginda, iaitu Raja Razman Shah, Tim dan Marco (kedua-dua Tim dan Marco, yang merupakan sahabat-sahabat Baginda sewaktu Baginda masih belajar di United Kingdom dahulu, kini telah pun memeluk agama Islam kerana tertarik dengan keperibadian Baginda dan dengan keindahan agama Islam), bertolak dari Istana Telipot, Kota Bharu, di dalam suasana hujan renyai pada pukul 4.30 petang dan selamat tiba di Masjid Mukim RKT KESEDAR Sungai Asap B pada pukul 6.15 petang.

Selepas bersalaman dengan para penduduk tempatan dan para pegawai tinggi kerajaan negeri yang hadir, Baginda, dengan bantuan Dato’ Abdul Halim Hamad, terus mengambil wudhu’ dengan menggunakan gayung yang tersedia di kolah masjid dan menunaikan sembahyang Asar secara berjemaah bersama-sama ahli-ahli rombongan Baginda.

Selepas menunaikan sembahyang Asar, berwirid dan berdoa, Baginda terus menyampaikan kunci lapan buah rumah (bernilai RM30,000 setiap satunya) yang telah dibina dengan menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada lapan orang penduduk miskin tegar dari jajahan Gua Musang. Turut diberikan bantuan wang zakat sebanyak RM100 seorang adalah 100 penduduk berdekatan.

Setelah itu, Baginda meluangkan masa selama hampir setengah jam bagi beramah mesra dengan 29 orang asli dari Pos Hendrop di perkarangan masjid itu di mana Baginda telah memberikan mereka, yang diketuai oleh Ahoh @ Wahab bin Ibrahim, 29, peluang untuk menceritakan permasalahan mereka kepada Baginda. Setelah bertukar-tukar bicara mengenai aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan bagi menyara kehidupan mereka, mereka pun mengemukakan hasrat mereka supaya Baginda dapat mengusahakan agar mereka dan rakan-rakan mereka yang lain yang kesemuanya berjumlah sekitar 200 orang diberikan hak milik tanah di dalam lingkungan 15 ekar seorang. Mendengarkan permintaan ini, Baginda segera menyatakan kesanggupan Baginda untuk memikirkan cara bagi membantu mereka mendapat tanah tersebut. Di dalam masa yang sama, Baginda menanyakan kepada mereka apakah yang mereka mahu usahakan di tanah tersebut, yang dijawab oleh mereka akan diusahakan dengan tanaman padi, pisang dan keledek. Baginda kemudiannya mencadangkan bahawa adalah lebih baik tanah itu diberikan secara berkelompok serta diusahakan secara beramai-ramai, dengan tanaman yang lebih menguntungkan seperti getah, bagi membolehkan tanah itu memberikan pulangan yang lebih baik. Kesemua orang asli ini juga turut diberikan bantuan wang zakat sebanyak RM100 seorang.

Kemudian Baginda, tanpa menghadapi walau sebarang kesulitan pun, terus sahaja menyembelih sendiri seekor lembu, juga di perkarangan masjid itu, di mana dagingnya, bersama-sama daging empat ekor lagi lembu yang telah disembelih pada sebelah paginya, diagih-agihkan kepada fakir miskin, termasuklah kepada hadirin majlis.

Seterusnya, Baginda berjalan kaki meredah hujan renyai sejauh kira-kira 500 meter untuk ke rumah seorang pesakit asma kronik, Sudin Che Ya, 59. Di sini, Baginda telah meluangkan masa selama kira-kira 15 minit untuk beramah mesra dengan pesakit tersebut. Di antara lainnya, pesakit tersebut menceritakan kisahnya yang menghidap asma, yang menyebabkan beliau tidak dapat bekerja (hanya mengharapkan hasil daripada tanaman getahnya yang diusahakan oleh penduduk lain) di samping menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk menyara dua orang anaknya yang masih bersekolah, iaitu Mohd Shahriza, 17, dan Mohd Ridzuan, 11, apatah lagi setelah beliau ditinggalkan oleh isterinya sejak sepuluh tahun yang lalu. Setelah bertukar-tukar bicara mengenai jenis-jenis ubatan yang pesakit tersebut gunakan bagi merawat penyakitnya itu, Baginda telah memberikan komitmen Baginda untuk membeli, sama ada di Kuala Lumpur atau di Singapura, peralatan rawatan terkini (yang boleh berfungsi apabila disambung dengan bekalan elektrik ataupun pencucuh api di dalam kereta) yang digunakan bagi merawat penyakit itu. Baginda juga menitahkan kepada Ketua Jajahan Gua Musang supaya mengusahakan pesakit tersebut dibawa untuk menjalani rawatan yang lebih terperinci di Hospital Daerah Gua Musang. Baginda kemudiannya bertanya pesakit tersebut jika ada apa-apa permintaan khusus yang dimahukan oleh beliau dari Baginda dan pesakit tersebut pun mengemukakan hasrat beliau supaya Baginda dapat membina sebuah rumah baru untuk beliau dan anak-anak beliau memandangkan rumah yang mereka diami sekarang sudah agak uzur. Mendengarkan permintaan ini, Baginda segera menyatakan kesanggupan Baginda untuk membantu membina rumah tersebut. Di samping itu, Baginda juga tidak lupa untuk memberikan sedikit sumbangan peribadi Baginda kepada pesakit tersebut.

Setelah itu, Baginda pun bergegas kembali ke Masjid Mukim RKT KESEDAR Sungai Asap B untuk menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah bersama-sama para penduduk tempatan di sana. Setelah berwirid, berdoa, bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah, Baginda beserta rombongan Baginda pun berangkat ke Istana Persinggahan Gua Musang untuk beradu di sana dan seterusnya berangkat ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Dalam pada itu, di antara para pegawai tinggi kerajaan negeri yang turut hadir di dalam majlis ini adalah Ahli Majlis Perajaan Negeri, Dato’ Sukri Mohamed; Dato’ Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Dato’ Ismail Mohd Noor; Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias; Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Faudzi Che Mamat; Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh; Dato’ Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Kamaruddin Mohd Zain; dan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.
Nampaknya penangkapan Syiah di Gombak baru-baru ini menyebabkan saudara FT benar-benar kepanasan. Tulisan-tulisan beliau dalam blognya semakin merapu-rapu sehingga entri terbaru meminta supaya ASWJ mengkafirkan sahaja penganut Syiah di Malaysia. Kalau begitu bermakna, FT sendiri yang kafirkan Syiah. Tiada ulama ASWJ yang kafirkan Syiah secara mutlaq begitu. Hatta kerajaan Arab Saudi yang terkenal dengan fahaman keras mereka terhadap Syiah masih membenarkan penganut Syiah mengunjungi Kota Makkah dan Madinah untuk tujuan haji dan ziarah. Bermakna mereka masih menganggap Syiah itu muslim bukan KAFIR SEPERTI FATWA FAISAL TEHRANI.

Sebenarnya, penulis mendapat banyak pertanyaan berkenaan FT. Adakah FT seorang Syiah atau bagaimana? Untuk makluman para blogger dan seluruh penganut Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) di Malaysia, mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM kali ke-37/2008 telah memutuskan bahawa sememangnya terdapat unsur-unsur Syiah di dalam tulisan-tulisan FT.

Oleh itu, penulis ingin menegaskan supaya para blogger hendaklah berhati-hati jika membaca tulisan-tulisan karangan FT termasuk blognya. Sebagai contoh, dalam entri bersempena dengan sambutan Asyura dan Karbala, FT telah menulis di dalam blognya dengan menggunakan dalil-dalil dari kitab ASWJ kononnya amalan meratap sambil memukul muka dan dada terhadap kesyahidan Sayyidina Husain seperti yang dilakukan oleh puak Syiah adalah termasuk dalam ‘tradisi ASWJ.


Entri 3 bahagian yang bertajuk ‘Menangislah Ia Sunnah Nabi’, mengumpulkan hujjah-hujjah kononnya perbuatan ‘menangis’ seperti yang dilakukan oleh Syiah juga telah lama menjadi tradisi ASWJ. Nampaknya FT memang bijak memutarbelitkan dalil-dalil sunni dengan berhujjah di luar konteks serta menyalahtafsirkan maksud ‘menangis’. Apa yang menjadi masalah, FT tidak tahu membezakan antara maksud ‘menangis’ dan ‘meratap’ sedangkan kedua-duanya adalah istilah yang berbeza dalam sunnah Nabi. Sememangnya sunnah tidak melarang kita menangis atas kematian yang berlaku kerana itu fitrah, lebih-lebih lagi ketika menghadapi saat pertama menerima berita kematian seperti disebut oleh Baginda SAW ketika melihat seorang wanita menangisi kematian bayinya. Rasulullah SAW bersabda kepada wanita tersebut, “Bertaqwalah dan bersabarlah…sesungguhnya kesabaran itu pada awal kemalangan”. (Sahih Bukhari)

Hadith ini menunjukkan bahawa, walau sesedih mana sekalipun menerima berita kematian, umat Islam dianjurkan supaya bertaqwa dan bersabar bagi mengelakkan mereka melampau-lampau dalam menangis ketika di awal berlaku kematian kaum keluarga dan sebagainya. Malah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan apabila menangisi kematian anaknya Ibrahim dalam keadaan penuh kesabaran. Rasulullah SAW bersabda:

"إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ ولا نَقُولُ إلا ما يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ"

“Sesungguhnya mata itu mencucurkan air mata, dan hati bersedih, dan kita tidak mengatakan (memerintahkan/meyakini) kecuali apa-apa yang menjadi keredhaan Allah, dan sesungguhnya aku adalah orang yang bersedih dikeranakan perpisahanku dengan Ibrahim (puteraku).”

Inilah kaedah menangis yang dibenarkan di dalam Islam, bukan meratap yang dilarang secara tegas oleh Baginda SAW malah ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kaum keluarga Nabi SAW. FT juga jangan jadi jahil (sedangkan anda adalah seorang sasterawan) beza antara ‘menangis’ dengan ‘meratap’ dalam bahasa Melayu.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ‘menangis @ tangis; bererti ‘pelahiran perasaan sedih (kecewa, menyesal dll) dgn mencucurkan air mata dan suara yg tersedu-sedu’ manakala ‘meratap @ ratap’ bererti ‘tangisan atau jeritan yg disertai kata-kata kerana terlalu sedih’ dan ‘meratap’ ialah ‘menangis sambil mengeluarkan kata-kata; mengeluh dgn menjerit dll’ (Sila rujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP di laman http://prpm.dbp.gov.my/)

Meratap inilah yang dilarang di dalam Islam dan disebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW sebagai ‘niyahah’. Al-Sunnah dengan jelas menyebut perbuatan meratapi si mati sehingga menampar-nampar muka dan dada, menyeksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala adalah amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah”. (Sahih Bukhari).

عن أُمِّ عَطِيَّةَ قالت أَخَذَ عَلَيْنَا رسول اللَّهِ  مع الْبَيْعَةِ أَلَّا نَنُوحَ فما وَفَتْ مِنَّا امْرَأَةٌ إلا خَمْسٌ أُمُّ سُلَيْمٍ وَأُمُّ الْعَلَاءِ وَابْنَةُ أبي سَبْرَةَ امْرَأَةُ مُعَاذٍ أو ابْنَةُ أبي سَبْرَةَ وَامْرَأَةُ مُعَاذٍ

Diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a katanya: “Rasulullah SAW menerima janji dari kami pada waktu bai'ah iaitu ikrar setia, agar kami tidak meratapi mayat. Tidak ada wanita yang turut berbai'ah kecuali hanyalah lima orang iaitu Ummu Sulaim, Ummul Ala', anak perempuan Abu Sabrah iaitu isteri Mu'az atau puteri Abu Sabrah isteri kepada Mu'az". (Sahih Muslim)

أَنَّ أَبَا مَالِكٍ الْأَشْعَرِيَّ حدثه أَنَّ النبي  قال أَرْبَعٌ في أُمَّتِي من أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَتْرُكُونَهُنَّ الْفَخْرُ في الْأَحْسَابِ وَالطَّعْنُ في الْأَنْسَابِ وَالْاسْتِسْقَاءُ بِالنُّجُومِ وَالنِّيَاحَةُ وقال النَّائِحَةُ إذا لم تَتُبْ قبل مَوْتِهَا تُقَامُ يوم الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ من قَطِرَانٍ وَدِرْعٌ من جَرَبٍ

Daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Nabi SAW bersabda: “Ada empat perkara pada umatku yang termasuk perkara jahiliyah yang tidak mereka tinggalkan: Membanggakan kemuliaan orang tua nenek moyang, mencela nasab, istisqa (meminta hujan) dengan bintang, dan meratap.’ Dan Baginda SAW bersabda, ‘Wanita yang meratap, jika tidak bertaubat sebelum matinya, maka dia akan dibangkitkan pada hari Qiamat dengan memakai pakaian dari cairan tembaga dan gaun kudis’”

Manakala riwayat daripada Sayyidah Aisyah r.a. yang menyebut bahawa beliau menampar wajahnya selepas kewafatan Rasulullah SAW tidak boleh sama sekali dijadikan hujjah kerana ia bukan hadith tetapi hanya athar sahabi. Apatah lagi apabila ia bertentangan dengan riwayat hadith sahih. Tambahan lagi dalam riwayat tersebut Sayyidah Aisyah menyebut di permulaannya: فَمِنْ سفهي وَحَدَاثَةِ سني bermaksud “dan kerana kejahilanku dan keremajaan umurku”. Ia menunjukkan bahawa Sayyidah Aisyah mengakui ia adalah satu kesilapan dan para ulama ASWJ berpendapat Sayyidah Aisyah telah bertaubat daripada kesilapan tersebut.

Akhirnya, memadailah dengan tiga hadith di atas sebagai dalil golongan ASWJ bahawa amalan meratap @ niyahah adalah dilarang oleh Rasulullah SAW dengan disertai janji azab di Hari Qiamat kelak bagi orang yang melakukannya. Kerana itu tiada ulama ASWJ yang mengharuskannya apa lagi untuk melakukannya serta menjadikannya sebagai satu syiar seperti Syiah. Tidak mungkin FT tidak tahu bagaimana Syiah mengadakan upacara ma’tam bagi mengenang peristiwa Karbala. Ia dipenuhi dengan jerit tangis yang meratap-ratapi kesyahidan Sayyidina Husain. Malah ia dilagukan sambil memukul-mukul dada dan sebahagiannya menampar pipi, malah ada yang lebih dahsyat sehingga melukakan tubuh badan sendiri. Adakah seorang sasterawan seperti FT tidak tahu membezakan menangis biasa (buka’) dengan meratap (niyahah)? Adakah FT mahu mengatakan ini tradisi sunni? Maaf anda telah berbohong dengan pembohongan yang besar!!! Rasulullah SAW bersabda:

عن الْمُغِيرَةِ رضي الله عنه قال سمعت النبي  يقول إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ ليس كَكَذِبٍ على أَحَدٍ من كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ من النَّارِ سمعت النبي  يقول من نِيحَ عليه يُعَذَّبُ بِمَا نِيحَ عليه

Daripada al-Mughirah r.a., beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya pembohongan ke atasku tidak seperti pembohongan ke atas orang lain, sesiapa yang berbohong atas namaku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka. Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang diratapi atas kematiannya, dia diazab dengan apa yang diratapi atasnya”. (Sahih Bukhari).

Di kesempatan ini juga, penulis ingin menyeru semua pihak terutamanya ilmuan dan intelektual ASWJ termasuk Dr MAZA (yang baru-baru ini mengatakan keperluan berhujjah dgn ajaran menyeleweng bukan guna kuasa-walaupun bagi penulis penggunaan kuasa dan hujjah perlu berjalan sekaligus mengikut bidangkuasa masing2 berdasarkan hadith 'man ra'a minkum munkaran') supaya menjawab keraguan dan syubuhat-syubuhat yang dicetuskan oleh Syiah dari masa ke semasa. Semoga masyarakat Islam-ASWJ di Malaysia dipelihara Allah daripada segala bentuk bid'ah yang merosakkan kesucian aqidah dan syariah Islam.

Wallahu a'lam.