Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1) Kehadiran hati dalam sembahyang.

(2) Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

(3) Membesarkan Allah dalam sembahyang.

(4) Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

(5) Penuh harapan.

(6) Perasaan malu.


Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1) Kehadiran hati dalam sembahyang.


Maksudnya ialah agar dapat kita mengosongkan hati itu dari segala urusan yang boleh mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2) Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.


Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam konteks menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengetahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3) Membesarkan Allah dalam sembahyang.


Membesarkan Allah di dalam sembahyang akan memberikan pengertian yang mendalam kepada diri orang yang bersembahyang itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4) Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.


Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di dalam sembahyang, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5) Penuh harapan.


Orang yang melakukan sembahyang itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6) Perasaan malu.


Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Bersambung: Sebab-sebab Pencapaian Keistimewaan Sembahyang


January 1, 2010
Penawar berguna untuk menghadirkan hati
Posted by akarimomar under Uncategorized
1 Comment

Ketahuilah, bahawa setiap orang Mu’min itu wajib memuliakan Allah azzawajalla, takut hanya kepadaNya, berharap hanya daripadaNya, dan sentiasa pula merasa malu terhadap segala kelalaian yang timbul tersebab dari perilakunya terhadap Allah s.w.t.

Semua perkara-perkara yang tersebut ini haruslah tidak terlepas dari ingatannya, sesudah ada penuh keyakinan terhadap Allah s.w.t., sekalipun kekuatan ingatan itu setanding dengan kadar kekuatan keyakinannya. Sebab terhindarnya sesuatu sembahyang dari ingatan kepada perkara-perkara tersebut, tiada lain melainkan disebabkan oleh fikiran yang bercabang-cabang, terganggunya hati dan ketidak hadirannya dalam bermunajat, berarti kelalaian dalam sembahyang. Dan tiada yang menjauhkan kita dari sembahyang yang sempurna, melainkan kerana terlalu banyak fikiran yang datang menggangu dan mengacau.

Penawar dalam menghadirkan hati ialah menolak semua fikiran-fikiran tersebut, dan sesuatu perkara itu tidak akan tertolak melainkan dengan menolak sebabnya, maka hendaklah anda mencari sebabnya dan mengetahui.

Adapun sebab-sebab kemunculannya fikiran-fikiran yang tidak menentu dalam sesuatu sembahyang itu, ialah sama ada merupakan perkara dari luar ataupun perkara dari dalam.

Perkara-perkara dari luar; iaitu seperti sesuatu yang didengar oleh telinga, ataupun dilihat oleh mata. Hal serupa ini boleh menarik perhatian kita kepadanya, lalu perasaan kita pun tertumpu kepadanya dan terpengaruh dengannya. Dari situ kita boleh dibawanya dari suatu fikiran kepada fikiran yang lain, sampai bercabang-cabang pula fikiran kita. Pada ketika itu semua yang kita lihat di hadapan kita akan menjadi sebab pemikiran.

Orang yang kukuh niatnya dan kuat keazamannya tidak akan dilalaikan oleh segala sesuatu yang bermain pada pancainderanya. Akan tetapi si lemah tentu sekali pancainderanya akan membawanya menggembara kepada berbagai-bagai pemikiran ketika itu.

Penawar kepada penyakit ini ialah dengan memutuskan pemikirannya dari segala sebab-sebab ini; iaitu dengan menutup matanya terlebih dulu, kemudian bersungguh-sungguh mencuba meletakkan ke belakang semua yang mungkin mengganggu pancainderanya.

Seterusnya, dia mencari tempat yang berdekatan dengan tembok, supaya dalam sembahyang nanti ruangan di hadapanya tidak terlalu lapang untuk dilihat oleh matanya. Dan hendaklah dia menjauhkan diri dari menunaikan sembahyang di jalan-jalan raya, yakni di tempat-tempat lalulintas orang ramai, ataupun di tempat-tempat yang berlukisan, atau tikar-tikar yang penuh dengan gambar-gambar dan warna-warni, kerana kesemuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dalam sembahyang.

Adapun sebab-sebab kebatinan pula, maka yang demikian itu adalah lebih hebat lagi. Orang yang bercabang-cabang perhatiannya dalam persoalan-persoalan keduniaan tentu sekali pemikirannya tidak tetap setempat, ataupun menumpu kepada sesuatu perkara yang tertentu, malah ia akan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain.

Cara untuk mengekang pemikiran-pemikiran ini dari berlaku, ialah dengan memaksa diri untuk memahami, atau mengikuti makna-makna bacaan yang dibacanya di dalam sembahyang dan melarang diri dari mengingati perkara-perkara yang lain dari itu. Untuk membantu melaksanakan cara ini, seseorang yang ingin bersembahyang hendaklah bersiap sedia sebelum bertakbir, lalu memperbaharui ingatannya tentang hari akhirat dan tempat bermunajat itu serta bahayanya keadaan ketika itu. Sebab ia sedang berhadapan muka dengan Allah s.w.t. Dan Allah dapat menyingkap segala rahsianya pada masa itu.

Sebelum mengangkat takbir, hendaklah ia menumpukan segala perhatian dan hatinya kepada sembahyang saja, dan jangan sampai ditinggalkan suatu tempat pun dalam hatinya itu untuk dipengaruhi oleh perkara-perkara selainnya.

Apabila gelombang pemikirannya masih belum lagi dapat disembuhkan oleh ubat yang seharusnya boleh mentenangkannya, maka hendaklah ia mendapatkan ubat pembersih yang boleh melenyapkan pangkal penyakit yang bersarang di dalam dasar urat sarafnya. Haruslah ia segera memperhatikan apa-apakah yang memalingkan dirinya dari kehadiran hati tadi. Tidak syak lagi, sesudah itu, akal fikiran itu akan kembali kepada tugasnya, dan ketahuilah ia bahawa pemesongan yang berlaku tadi tiada lain, melainkan disebabkan oleh gejala-gejala syahwat. Maka ia pun segeralah mengutuk dirinya dengan mencabut segala syahwat-syahwat itu dari dalam dirinya serta memutuskan semua perhubungan diri dengan syahwat-syahwat itu.

Ada sebuah riwayat yang diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah memakai baju bersulam yang diberikan kepadanya oleh Abu Juhum, lalu baginda bersembahyang, sebaik-baik selesai saja bersembahyang, segeralah baginda menanggalkannya pula seraya bersabda: Kembalikanlah baju ini kepada Abu Juhum sebab ia melenakan saya dalam sembahyang tadi, dan tukarkanlah dia dengan baju biasanya saja (yakni yang tiada bersulam).

Comments (0)