Membaca surat khabar hari jumaat 27/8/01 membuatkan jiwa saya terdorong untukmenurunkan sedikit catatan meluahkan pendapat dan rasa tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor.
Orang kafir boleh masuk ke masjid sebenarnya menurut hukum Islam tetapi sebelum saya bahaskan hal tersebut marilah cuba mendengar keluhan saya terlebih dahulu.
Sudah lama sebenarnya, jabatan Agama Islam di Malaysia lebih berperanan menyusahkan umat Islam, mengenakan pelbagai peraturan yang tidak membawa manfaat kepada dakwah dan kepentingan umat Islam sebaliknya lebih bertujuan menunjukkan kekuasaan agama dan pengaruhnya di dalam negara Malaysia. Saya tidak suka dengan sikap Jabatan Agama Islam yang lebih suka menjadi detektif penyiasat mencari salah masyarakat sekalipun mungkin itu adalah minda dan budaya mereka yang bekerja di bawah sistem Malaysia.
Saya juga kurang gemar dengan peraturan demi peraturan agama yang lebih berbentuk menghukum daripada mendidik dan menyelesaikan masalah.
Saya yakin tidak ramai ahli agama dan pegawai di pejabat agama yang didedahkan dengan latihan pengurusan yang berkesan. Mungkin mereka juga tidak pernah mendengar tentang prinsip pareto yang mengatakan bahawa dalam 100 % masalah yang timbul, hanya 20 % sahaja masalah yang merupakan pokok masalah sebenar adapun 80 % perkara yang baki lagi adalah lebih kepada masalah berbangkit yang timbul dari kesan masalah 20 % yang asal itu.
Jadi menurut prinsip pareto, jika kita ingin menyelesaikan masalah secara tepat kita perlu mensasarkan usaha penyelesaian pada perkara 20 % yang menjadi punca masalah lalu barulah 80% masalah berbangkit lain yang timbul akan dapat diselesaikan.
Aqidah dan perjuangan Islam dibuat mudah, Hal feqah dan persoalan remeh dipersusahkan
Saya hairan dengan Jabatan Agama Islam di Malaysia, persoalan berkait kepentingan Umat Islam dan dakwah menyeru manusia kepada agama seperti menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah SWT, mengajak masyarakat mengamalkan Islam seperti menegakkan solat, melaksanakan syariat-syariat Islam dan memahamkan mereka tentang agama melalui tarbiyah dan dakwah berbentuk ilmu dipandang mudah dan tidak dipedulikan.
Anak-anak remaja Muslim di sekolah rendah dan sekolah menengah jarang didekati oleh mana-mana pegawai dan Jabatan Agama Islam di Malaysia. Sepatutnya mereka boleh mengadakan program latihan untuk pelajar sekolah, lawatan, seminar dan pendedahan berkenaan Islam dan dakwah kepada golongan ini. Ibarat kata orang mencegah lebih baik daripada mengubat maka apa sahaja program, aktiviti dan usaha mendekati generasi muda Islam untuk menyampaikan kesedaran agama kepada mereka perlu dilakukan.
Tetapi mereka tidak muncul.
Anda akan melihat pegawai-pegawai agama ini muncul memakai jaket tanpa lengan (vest) dengan lagak pengawai detektif dan polis apabila telah berlaku gejala sosial dan peristiwa hitam seperti pelajar sekolah berzina, murid sekolah mencabul atau pelbagai kes lain.
Galak sekali muka-muka mereka muncul dengan popular di dalam majalah dan suratkhabar tabloid seperti Harian Metro untuk mendedahkan salah laku umat Islam di sana sini tetapi apa dan ke mana sudahnya ?
Masalah sosial dan kebejatan agama berlaku di sana sini dan tahukah anda apakah yang ada di dalam kotak pemikiran pegawai agama dan jabatan agama di Malaysia ? Mereka berkira-kira mahu menambah pegawai mereka dan mahu diberikan bajet lebih banyak untuk meningkatkan kekuatan pasukan mereka bagi memantau dan menjaga serta menguat kuasakan undang-undang syariah Islam di dalam negara.
Masjid ialah merupakan tempat sujud bagi orang Islam secara bahasa manakala dari sudut istilah ilmu masjid merujuk kepada rumah ibadah Islam yang di dalamnya dikerjakan solat serta pelbagai ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah : 17)
Masjid disebut rumah Allah kerana di dalamnya orang mengabdikan diri kepada Allah SWt namun Islam bukanlah agama yang sempit ini dibuktikan oleh hadis nabi Sallahualaihiwasalam yang menyebut : “ Dimana sahaja kamu mendapati masuknya solat maka bersolatlah kerana di situ ialah masjid” dalam riwayat yang lain Nabi menyebut seluruh tanah di atas muka bumi ini dijadikan tempat sujud (masjid) bagi umat Islam sebagai menunjukkan kemudahan Islam kepada umatnya. (Lihat sahih bukhari dan Muslim serta lain-lain kitab hadis)
Apapun jika kita mahu jujur dan bersikap adil maka kita perlu menegur perkara berkenaan masjid dari semua sudut.
Bermegah-megah dalam binaan masjid
Islam melarang umatnya bermegah-megah dan membangunkan masjid menjadi hiasan dan tempat mewah. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasaie serta lain-lain ulama hadis bahawa nabi diriwayatkan pernah bersabda : “ Tidak akan tiba hari kiamat sehinggalah manusia berbanga-banga dengan pembinaan masjid.” Manakala dalam hadis yang lain seperti yang diucapkan oleh Ibn Abbas ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam pernah mengatakan bahawa baginda tidak dibenarkan menghiasi masjid seperti mana yahudi dan nasrani menghiasi masjid mereka. (Lihat hadis dalam Sunan Abu Daud dan Ibn Hibban)
Para sahabat dahulu apabila membina masjid, mereka besederhana di dalam binaanya agar tidak menjadi tempat perhiasan dan tempat manusia berbangga dengan pembinaannya dan melalaikan manusia daripada tujuan asal masjid dibangunkan iaitu sebagai tempat ibadah, menjalinkan ukhuwah dan persaudaraan Islam di atas ketaqwaan dan keimanan.
Mana perginya Jabatan Agama Islam di Malaysia apabila kerajaan membangunkan masjid Kristal dan pelbagai lagi masjid yang dibina cantik dan dijadikan hiasan serta kebanggan ibarat muzium sehingga dikawal rapi 24 jam serta tidak dibenarkan tidur mahupun berehat di dalamnya ?
Mereka tidak mendapat aduan atau laporan berkenaan hal tersebut, demikianlah agaknya jawapan mereka.
Makan dan minum dalam masjid serta tidur di dalamnya
Para ulama Islam membolehkan perbuatan makan dan minum di dalam masjid serta bahkan tidur di dalamnya. Masjid yang merupakan tempat suci kedua umat Islam sendiri dahulunya dijadikan pusat tidur para golongan ahlul suffah yang tinggal dan bermalam di dalamnya.
Kata Ibn Umar ra, kami dahulunya di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam tidur di dalam masjid serta berqailulah di dalamnya semasa kami masih muda dan demikian juga yang ditegaskan oleh Imam An-nawawi bahawa para sahabat rasulullah biasa tidur di masjid.
Bahkan seorang yang bukan Islam bernama Samamah bin A’sal pernah tidur di dalam masjid di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam sebelum beliau memeluk Islam.
Bahkan Al-Imam Syafie ra sendiri menyebut di dalam kitabnya Al-Umm, Bolehnya orang musyrik bermalam di masjid dan begitu juga dengan seorang muslim. Juga beliau menyebut tidak mengapa seorang yang musyrik (bukan Islam) bermalam di mana-mana masjid kecuali di masjidil haram.
Manakala Abdullah bin Harris ra menyebut bahawa : “Kami makan roti dan daging di dalam masjid ketika zaman rasulullah salallahualaihiwassalam.” (Lihat kitab Fiqh Sunnah karya Syed Sabiq)
Hukum orang bukan Islam masuk ke dalam masjid
Para ulama Islam seperti Syeikh Muhammad Soleh Al-Munanjid, menyebutkan bahawa orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuki masjid selain daripada masjid haram dan masjid nabawi. Perbuatan ini berdasarkan amalan di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam serta tidak terdapat larangan yang khusus berkenaan hal tersebut.
Keharusan orang bukan Islam memasuki masjid sekiranya mempunyai keperluan adalah berdasarkan memenuhi sifat syariah Islam yang menetapkan bahawa hukum larangan atau keharaman adalah mesti didokong oleh dalil dan perintah daripada nas Al-Quran mahupun al-hadis manakala dalam hal ini adalah tiada.Deligasi daripada Thaqif dan segolongan nasrani daripada Najran pernah menetap di masjid sebelum mereka memeluk Islam dan hal itu pernah berlaku di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam.
Fatwa keharusan ini dikeluarkan oleh Lajnah Fatwa Arab Saudi yang memiliki kekuatan sokongan daripada ramai cendiakawan dan ulama Islam yang lebih menyakinkan kita.
Bahkan larangan bagi wanita haid memasuki masjid juga adalah suatu tindakan yang tidak wajar dikuat kuasakan sebagai undang-undang syariah kerana para ulama Islam sendiri tidak bersepakat dalam hal tersebut dan bahkan pendapat itu tidaklah menduduki pendapat yang mutlak.
Al-Imam Abu Hanifah ra dan mazhabnya misalnya mengharuskan kemasukan wanita ke masjid secara mutlak sekalipun ke dalam masjidil haram. Pendapat ini juga kemudiannya diperkembangkan oleh Al-Imam ibn taimiyyah ra yang menyatakan tidak salah bagi wanita haid untuk memasuki masjid dan duduk di dalamnya bagi tujuan atau keperluan tertentu.
Sebahagian ulama Islam seperti Syeikh Saud Al-Funaysan, bekas Dekan Jabatan Syariah Universiti Al-Imam, Arab Saudi menyatakan larangan kemasukan wanita haid ke masjid hanyalah disebabkan kebimbangan mereka akan mengotorkan masjid dengan darah yang menitis dan inilah yang diungkapkan oleh Al-Imam Ibn hajar ra ketika memberi komen kepada hadis Aisyah yang menyatakan wanita solat di zaman rasulullah dengan keadaan darah menitis daripada mereka.
Kata al-Imam ibn Hajar, ini menunjukkan bahawa seseorang wanita itu boleh iktikaf dan solat sekalipun bagi yang mengalami darah istihadah iaitu darah sakit selama dia mampu mengelak daripada mencemarkan masjid. (Lihat Fathul bari syarah sahih bukhari)
Maka bagi wanita Haid yang boleh menjaga kebersihannya serta mengelak daripada mencemari masjid maka tidak patut dihalang daripada memasuki masjid untuk tujuan-tujuan yang mulia dan keperluan tertentu yang diperlukan olehnya.
Permudahkanlah apa yang mudah.
Firman Allah SWT : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)
Apabila persoalan agama seperti aspek masjid diutarakan oleh mereka yg jahil dan cetek agama tetapi berfikiran politik jahiliah menyebabkan fungsi masjid hanya terbatas kepada orang melayu islam sahaja.. sentimen agama dan perkauman diapi apikan supaya survival politik sempit jahiliah atau sekular terus dapat dipertahan. Pernah terjadi pada zaman Rasulullah di mana seorang yahudi masuk lalu kencing di dalam masjid menyebabkan para sahabat berang dan mahu membunuh yahudi tersebut tetapi dengan kebijakan dakwah Rasulullah saw maka baginda menasihati yahudi tersebut dan para sahabat yang lain membersihkan air kencing yahudi tersebut. Ini menunjukkan sikap toleransi antara agama yang telah ditunjukkan oleh baginda tetapi pada masa sekarang jika ada seorang bukan muslim ingin berucap dan menyampaikan sumbangan maka dituduh menghina islam, mencemarkan masjid dan surau sedangkan yang bercakap itupun jarang ke surau.
Ini jelas menunjukkan bahawa parti jahiliah yang ada dalam sistem sekarang tidak mengakui dan tidak mengiktiraf dasar jahiliah yang mengasingkan antara politik dan agama sedangkan mereka asyik berpolimik mengatakan bahawa politik suku agama suku dan dalam masa yang sama mereka tidak mengasingkan demi masa depan politik jahiliah mereka.
8:41 AM |
Category: |
0
comments