Sukacita dimaklumkan bahawa sekitar jam 9.00 pagi esok, 18 Oktober 2008 (Isnin), Majlis Perajaan Negeri Kelantan melangsungkan mesyuaratnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Majlis Perajaan Negeri Kelantan, di dalam mesyuaratnya itu, dijangka akan menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, supaya:
1. Memilih dan melantik Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja).
2. Mengurniakan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan.

Bertindak di atas nasihat Majlis Perajaan Negeri Kelantan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, dijangka akan:
1. Memilih dan melantik Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja).
2. Mengurniakan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan.

Perisytiharan pilihan dan pelantikan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja) di samping perisytiharan pengurniaan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan ini dijangka akan dibuat oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias, di Istana Negeri, Kubang Kerian, sekitar jam 12.00 tengahari esok, 18 Oktober 2008 (Isnin).

Kedua-dua perisytiharan ini adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) sepertimana berikut:

27. (1) Maka pilihan dan pelantikan Bakal Raja hendaklah diperbuat oleh Raja dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, yang hendaklah melihat kepada kelayakan-kelayakan anak yang sulung, kepada yang lebih dekat darjah Waris Raja dahulu daripada yang lebih jauh, mengikut Hukum Syarak, dan di dalam setiap-tiap darjah, Waris kepada yang tertua, dahulu daripada yang muda.

27. (2) Maka bolehlah Raja, dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, mengurniakan kepada Waris, akan gelaran TENGKU MAHKOTA, Kelantan, yang akan dinamakan di dalam bahasa Inggeris sebagai “Crown Prince of Kelantan”.

29. Dikecuali ada syarat yang berlainan di dalam Perkara 31 Bahagian ini, maka Waris hendaklah orang Melayu daripada darah raja, keturunan zuriat Raja-Raja Kelantan, seorang lelaki yang beragama Islam, bermazhab Ahlu’s Sunnah wal Jamaah, tiap-tiap seorang daripada waris yang lain itu hendaklah orang yang seumpama itu juga.

30. (1) Maka Waris hendaklah anak yang diperanakkan daripada nikah yang halal mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa itu dan diakui daripada tubuh badan dan darah daging KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN ISMAIL PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA.

30. (2) Maka keturunan zuriat yang akan berhak menjadi Waris hendaklah putera, cucunda putera, cicitnda putera dan sebagainya daripada sebelah lelaki, dari selapis ke selapis keturunan hingga akhirnya sekali, oleh itu hendaklah tidak dibenarkan sekali-kali dan hendaklah menjadi tidak sah jika dilantik menjadi Waris akan mana-mana orang selain daripada keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, selagi ada seorang keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu: Dengan syarat keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu tidak akan berhak, jika ia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Waris, iaitu, apa-apa pengidapan yang berkekalan, seperti hilang akal, buta, bisu atau pun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Waris.

Comments (0)