Sang Gurkha ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit penjelasan mengenai kekecohan yang dilaporkan berlaku di dalam program Kelantan Fiesta yang dianjurkan oleh Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 16 ke 19 Jun 2010 lalu.
Sang Gurkha difahamkan bahawa masalah di dalam program ini bermula apabila Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohame telah di dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan yang beliau pengerusikan sendiri di Bangunan JPPK pada pagi 13 Jun 2010, mengumumkan bahawa Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak akan dibenarkan untuk berucap di dalam majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010.
Pada malam 14 Jun 2010, sewaktu raptai penuh majlis perasmian Kelantan Fiesta dilakukan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad (Shahrul Nasrun Dato’ Kamarudin), iaitu Dato’ Kamarudin Abdullah, pula diberitakan telah dengan secara terbuka menghamburkan beberapa kata-kata kurang sopan seperti berikut:
1. Bahawa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini, seperti kata orang-orang tua, umpama “berak atas pusu”.
2. Bahawa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja tidak akan dibenarkan untuk berucap malah perlu diberitahu supaya tidak hadir ke majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010.
3. Bahawa jika Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan bahawa wang sebanyak RM200,000 yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kelantan Fiesta itu adalah satu jumlah yang besar maka pagi esok, sebaik sahaja kaunter bank dibuka, wang itu akan dipulangkannya kembali kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Turut mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Dato’ Kamarudin Abdullah ini adalah dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, iaitu YB Abdul Patah Mahmood dan YB Dato’ Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pengurusan), Dato'Shafei Ismail, dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kelantan, Ahmad Shargowi Deraman.
Menurut EXCO dato' Takiyuddin Hasan,seorang pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memberitahu bahawa arahan agar slot ucapan Menteri Besar Kelantan ditiadakan dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed.
"Mula-mula saya tak percaya. Saya telefon, saya bercakap sendiri dengan Datuk Pa, didengar oleh pegawai JPP, TSUK Pengurusan. Datuk Pa kata menteri besar tak payah berucap," jelasnya.
Menurutnya, dalam perjanjian asal telah dipersetujui bahawa Tuan Guru salah seorang yang akan memberi kan ucapan dan telahpun dimasukkan dalam buku taklimat atucara majlis yang dibuat sendiri Red Carpet.
Tuan Guru, katanya dijangka berucap jam 9 malam sebelum ucapan perasmian oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
"Menteri Besar sebagai hos, tuan rumah, memang wajar berucap dalam majlis perasmian itu. Tak kan Perdana Menteri datang sorang-sorang tak tahu kepala ekor datang berucap begitu.
"Umpama kita pergi rumah orang, tuan rumah tak buka mulut lagi, kita dah bercakap," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri.
Pelanggaran kedua, katanya apabila pihak Red Carpet dalam satu sidang media 13 Jun yang dilaporkan akhbar Utusan, mendakwa Perdana Menteri yang akan merasmikan program tersebut sedangkan perjanjian mengikut perjanjian asal, perasmi adalah Pemangku Raja Kelantan.
Lebih teruk dari itu, Red Carpet juga mencetak bunting program perasmian dengan meletakkan gambar Najib yang dinyatakan sebagai perasmi program.
Menurutnya, Pemangku Raja telah pun bersetuju untuk berangkat merasmikan program tersebut melalui satu surat dari pejabat Sultan Kelantan bertarikh 14 Jun.
Namun pada 16 Jun, satu lagi surat dari pejabat Sultan Kelantan memaklumkan Pemangku Raja tidak dapat berangkat merasmikan program tersebut atas sebab-sebab tertentu.
"Oleh kerana senario berlaku, masalah pelanggaran syarat perjanjian, dan juga kita anggap sebagai satu program yang tidak mematuhi syarat, dan satu penghinaan kepada Yang Maha Mulia Pemangku Raja.
"Jadi mesyuarat exco buat keputusan, menteri besar, exco dan pegawai kerajaan tidak akan hadir," katanya.
Dalam penjelasannya juga, Takiyuddin turut menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan Red Carpet kepada kerajaan negeri termasuk menuduh kerajaan negeri mensabotaj program berkenaan.
"Jadi apabila hujan datang, ribut datang, seolah-olah kerajaan negeri boikot dengan bawa hujan ribut sekali," katanya disambut ketawa ahli dewan.
Pada malam 16 Jun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan Kelantan Fiesta 2010 hanya dengan kehadiran kira-kira 300 orang sahaja.
Majlis berlangsung dalam suasana hujan lebat mencurah-curah dengan bekalan elektrik turut terputus sehingga terpaksa menggunakan loud hailer.
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, selaras dengan kedudukan Baginda selaku seorang raja berperlembagaan, adalah berada di atas garisan politik. Ketidakberangkatan Pemangku Raja Kelantan ke majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010 itu adalah disebabkan oleh kegagalan pihak penganjurnya untuk menghormati, apatah lagi untuk memenuhi, protokol istana.
Begitupun, sebagai ketua kepada sebuah kerajaan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat di sebuah negeri yang berdaulat, sudah semestinyalah Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan juga wajar diberikan penghormatan yang selayaknya oleh semua pihak, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.
(Nota: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, sewaktu menggulung perbahasan beliau di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tengahari 22 Jun 2010 bagaimanapun menjelaskan bahawa, mengikut perjanjian bertulis di antara kedua-dua pihak, Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad sebenarnya hanyalah merupakan 'event manager' dan bukannya penganjur kepada program Kelantan Fiesta ini. Mengikut Dato' Takiyuddin Hassan juga, sehingga ke detik ini, Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad masih lagi belum membayar balik wang berjumlah RM200,000 yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kelantan Fiesta itu).
10:22 AM |
Category: |
0
comments
Comments (0)