PEJABAT SULTAN KELANTAN

1. Saya ingin memaklumkan mengenai rawatan yang dibuat ke atas KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan. Baginda Al-Sultan telah selamat berangkat ke Singapura pada 15 Julai 2010 jam 11.00 pagi. Ribuan terima kasih kepada pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia yang telah menyediakan pesawat khas untuk membawa Baginda Al-Sultan ke Singapura.

2. Keberangkatan Baginda Al-Sultan adalah bertujuan untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth. Syukur alhamdulillah, Baginda Al-Sultan juga telah selamat menjalani prosedur angiogram dan angioplasty pada 17 Julai 2010. Buat masa ini Baginda Al-Sultan masih lagi dirawat oleh pakar-pakar perubatan di hospital berkenaan.

3. Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan yang begitu prihatin terhadap kesihatan ayahanda Baginda merasa amat gembira dengan perkembangan ini. Baginda Pemangku Raja Kelantan akan mengatur penerbangan pulang Baginda Al-Sultan ke Kota Bharu seberapa segera walaupun pada mulanya Baginda Al-Sultan dijadualkan untuk berangkat pulang pada 21 Julai 2010.

4. Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada ayahanda Baginda. Baginda Pemangku Raja Kelantan mengharapkan agar semua rakyat turut sama mendoakan yang terbaik kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan agar Baginda Al-Sultan cepat sembuh dari kegeringan.

5. Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan telah mengatur solat hajat di beberapa masjid di negeri Kelantan dan berharap ianya dapat diteruskan oleh rakyat Baginda.

Comments (0)