Kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad hari ini yang parah akibat ditembak pada 1 Mei lalu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah berkata sebelum ini polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api.

"Polis akan menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mangsa meninggal dunia," katanya

Amir bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Pada 1 Mei lalu, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak oleh individu yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Ramli meninggal dunia pada jam 3.30 pagi hari ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu.

Bernama juga melaporkan seorang kakitangan Istana Kelantan ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Laporan sebelum ini menyebut, seorang suspek warga tempatan berusia 40 tahun ditahan bagi siasatan yang sama.

Comments (0)