Pembantu pengawal peribadi Istana Kelantan Ramli Mohamad, 50, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu hari ini, 19 hari selepas menerima rawatan akibat ditembak oleh individu tidak dikenali.

Menurut seorang anggota keluarganya, Ramli meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam apabila organ utamanya dijangkiti kuman.

Semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menghulur sumbangan peribadi baginda sebanyak RM100,000 kepada keluarga Ramli sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Ramli meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Dalam kejadian 1 Mei lalu, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Berikutan kejadian itu Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ditingkatkan.

Comments (0)