Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, menitahkan polis supaya meletakkan keutamaan kepada kes seorang pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang meninggal dunia semalam setelah ditembak oleh individu yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu.

"Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan baginda berharap polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini.

"Baginda juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli dan merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor pakar daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) yang bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik," katanya di Rumah Mayat HRPZII di Kota Bharu.

Ramli meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HRPZII kira-kira jam 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam.


Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Be
rikutan kejadian itu Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan dipertingkatkan.

Abdul Halim berkata, pakar forensik dijangka tiba dari Kuala Lumpur pada pukul 3 petang ini untuk melakukan bedah siasat ke atas jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikafankan di hospital dan dibawa ke Masjid Muhammadi untuk solat jenazah dan dikebumikan di kampung Allahyarham di Kampung Kok Keli, Tumpat selepas solat Asar.

Beliau berkata, ketika Ramli menghembuskan nafas terakhir, semua ahli keluarga iaitu isteri Allahyarham Maznah Mustafa dan lima anaknya ada bersama di sisinya.
Pemangku Raja Kelantan sempat menziarahi Allahyarham di hospital itu pada jam 11 malam tadi dan telah memberikan kata-kata nasihat kepada keluarga Allahyarham.

Semalam, baginda menghulur sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada Allahyarham sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Allahyarham adalah kakitangan pejabat Istana Kelantan yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan sejak lebih 17 tahun lalu dan disifatkan sebagai kakitangan yang berdedikasi dan beramanah dalam menjalankan tugasnya.

Comments (0)