KENYATAAN AKHBAR KHAMIS 22 JULAI 2010

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan baginda terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak hadir menyambut keberangkatan pulang baginda dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkata, Tuanku Sultan juga menzahirkan perkara yang sama terhadap Exco-Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

"Tindakan ini adalah satu tindakan yang amat biadap dan diharapkan tidak berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Mahkota di sini semalam.

Tengku Muhammad Fakhry memberitahu, Tuanku Sultan berada dalam keadaan kesihatan yang amat baik.

Jelasnya, berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor-doktor pakar di Singapura, baginda mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat keputusan dengan lebih baik.

"Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menzahirkan terima kasih baginda kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan Tuanku selamat sembuh dan selamat kembali daripada menjalani rawatan susulan di Singapura," ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Sultan Kelantan, Kolonel Dr. Amir Ramli menasihatkan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Menurutnya, perkara tersebut dititahkan oleh Tuanku Ismail kepada beliau selepas pulang mengikuti rombongan perubatan baginda di Singapura semalam.

Comments (0)