Sang Gurkha ingin menarik perhatian semua untuk memberi respons kepada press statement yang telah dikeluarkan oleh kekanda Al Sultan kelantan, YBM Dato Tengku Rozan. Di mana YBM Tengku telah menjelaskan permasalahan yang berlaku untuk merungkai kekeliruan orang ramai terutama rakyat Kelantan dan di mana berdasarkan kenyataan rasmi YBM Tengku yang menjadi saksi kepada peristiwa - peristiwa yang berlaku. Berikut adalah petikan kenyataan rasmi daripada YBM Dato'Tengku Rozan :


1. Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YBM Dato' Tengku Merjan binti Almarhum Sultan Yahya Petra di dalam akhbar pada 25 Julai 2010. Saya berharap YBM Dato' Tengku Merjan tidak mencampuri urusan pentadbiran Pejabat Sultan. Saya berkeyakinan bahawa setiap orang pegawai terpaksa mengikut peraturan dan undang-undang di dalam menjalankan tugas. Pengelola Istana bertugas sebagai ketua pejabat dan menjalankan titah.

2. Saya ingin mengesahkan bahawa Dato' Abdul Halim pernah menghadap KDYMM Tuanku Al-Sultan semasa Baginda dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian pada 4 Mei 2010 dan beliau juga beberapa kali menghadap KDYMM Tuanku Al-Sultan semasa Baginda dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

3. Kita perlu sedar diri kenapa orang tak mahu mendekati kita dan adakah betul KDYMM Tuanku Al-Sultan menitahkan pegawai-pegawai menghadap Baginda.

4. Mengenai penggunaan pesawat khas, seperti yang telah dimaklumkan bahawa penggunaan pesawat adalah mengikut prosedur dan surat kelulusan telah diterima dari Jabatan Perdana Menteri yang dihantar ke Pejabat Sultan Kelantan.

5. Diharap perkara ini tidak dibincangkan lagi di dalam akhbar. Urusan keluarga tidak patut dicampur-adukkan dengan urusan pejabat. Hormatilah KDYMM Tuanku Al-Sultan yang sedang gering dan pentadbiran negeri perlu berjalan seperti biasa di bawah YMM Pemangku Raja.

6. Hormatilah Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Pengelola Istana D'Raja dan pegawai-pegawai istana serta pegawai-pegawai kerajaan yang bekerja 24 jam berkhidmat untuk KDYMM Tuanku Al-Sultan. Kadang-kadang makan entah ke mana, keluarga entah ke mana! Ingatlah, langit tak selalunya cerah.

7. Kita berdoalah kepada Allah swt agar diberi petunjuk dan jalan yang lurus untuk kita selesaikan masalah keluarga ini. Jangan kita mengikut nafsu dan cakap tak serupa bikin, tak acilah macam tu.

DATO' TENGKU ROZAN BINTI ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA
Kakanda KDYMM Al-Sultan Kelantan
Ahli Majlis Perajaan Negeri dan Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan

Comments (0)