SULTAN TEGUR ABDUL HALIM
KOTA BHARU - Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad serta pegawai di bawah seliaan beliau dinasihat tidak membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai tahap kesihatan dan rawatan yang diterima oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura baru-baru ini.
Pakar Perubatan Sultan Kelantan, Kolonel Dr Amir Ramli berkata, perkara tersebut dititahkan sendiri oleh Tuanku Sultan kepada beliau selepas pulang mengikuti rombongan perubatan baginda di Singapura, semalam.
“Ia ditakuti akan menyebabkan kenyataan akhbar beliau nanti tidak tepat dan mengelirukan masyarakat umum. Memandangkan Datuk Abd Halim bukanlah Doktor Perubatan maka ada ketikanya kenyataan akhbar beliau telah melanggar Etika Perubatan Pesakit dan mengaibkan Sultan Kelantan dan keluarga baginda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dr Amir berkata, Pengelola Istana tidak mengikuti rombongan ke Singapura dan beliau juga tidak pernah berhubung atau dihubungi oleh mana-mana pihak dari Rombongan Perubatan Tuanku yang bertugas negara tersebut.
Katanya, Sultan Kelantan juga murka kerana Abdul Halim atau wakilnya tidak pernah datang menjenguk baginda di Istana Mahkota sejak keberangkatan pulang Tuanku dari Singapura pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Dr Amir menyatakan, urusan keberangkatan pergi dan balik Tuanku tidak pernah diuruskan oleh Abd Halim, sebaliknya ia dilakukan atas urusan beberapa individu melalui Jabatan Perdana Menteri dan saluran-salurannya setelah mendapat perkenan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semasa lawatan beliau ke Istana Mahkota sebelum ini.
“Jika beliau masih berminat juga menguruskan urusan rombongan Perubatan Sultan Kelantan, hanya urusan pembayaran balik bil hospital dan penginapan kepada Tengku Temenggung yang belum selesai. Ini kerana bayaran bil hospital dan hotel dibayar oleh Tengku Temenggung menggunakan wang poket baginda sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Amir menambah, sekiranya Abdul Halim masih berminat membuat kenyataan akhbar maka lebih manis jika beliau datang ke Istana Mahkota dan mendapatkan perkenan Sultan Kelantan dahulu.
1:58 PM |
Category: |
0
comments
Comments (0)