Sang Gurkha sudah banyak kali mengulas perkara yang berkaitan dengan moral remaja dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Seperti lazimnya, saya tidak mahu menulis panjang tentang hal itu.

Namun, langkah kerajaan negeri di sebuah negeri di Malaysia yang mahu menubuhkan SEKOLAH PELAJAR HAMIL jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah moral dalam kalangan remaja. Walhal situasi kronik ini sering dinafikan oleh sesetengah pemimpin, agensi kerajaan, NGO, ibu bapa, dan anggota masyarakat. Sindrom penafian ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan yang lebih teruk terhadap moral remaja malah impaknya dapat kita lihat dalam usaha melahirkan masyarakat berminda kelas pertama dan masyarakat yang bermoral tinggi untuk membangunkan negara pada masa akan datang.

Bagaimana pula dengan jumlah hampir ratusan ribu anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan? Semuanya berlaku di MALAYSIA bukannya di Amerika Syarikat atau di negara Barat yang lain. Berdasarkan beberapa kiriman yang tidak pernah terfikir oleh akal kita akan berlaku dalam masyarakat Malaysia, maka jelaslah bahawa tindakan bersifat preventif perlu dilaksanakan segera agar tindakan "nasi sudah menjadi bubur" seperti menubuhkan sekolah untuk pelajar hamil diambil yang akhirnya akan memalukan dan merendahkan martabat masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam.

Apa tindakan preventif yang perlu dilaksanakan? Islam telah menunjukkan caranya, baik dari segi tatacara dalam kehidupan, mahupun hukuman untuk menyedarkan penganutnya; sekolah dan guru perlu diberi hak untuk menghukum berdasarkan peraturan yang ditetapkan; ibu bapa perlu dipertanggungjawabkan atas salah laku anak-anak; undang-undang tegas perlu diperuntukkan untuk menangani hal ini, dan seribu macam solusi untuk memastikan perkara ini tidak berlarutan.

Semoga kita sentiasa mengingati BALA Allah SWT.

Comments (0)