Peringatan yang diberikan oleh Dr Amir Ramli adalah baik. Walau bagaimanapun, ianya tidak sesuai kerana Dr Amir Ramli bukanlah kakitangan Pejabat Sultan Kelantan dan sesiapa tidak bertanggungjawab kepadanya dalam menjalankan tugas. Tidak ada sebarang surat dari pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang menyatakan beliau telah ditempatkan di Pejabat Sultan Kelantan. Teguran beliau boleh menimbulkan persoalan ‘siapa beliau’ sedangkan tidak ada sebarang perlantikan beliau secara rasmi sebelum ini.

Doktor juga harus memahami dan mematuhi etika juga pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pertahanan


Urusan penggunaan pesawat untuk keberangkatan Tuanku ke luar negeri dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan. Penggunaan pesawat TUDM diselaraskan melalui Jabatan Perdana Menteri, Pusat Operasi Tentera Udara dan Pejabat Sultan Kelantan. Ini sudah menjadi kelaziman dan berjalan dengan begitu baik sekali. Janganlah mengelirukan keadaan.

Tuduhan yang mengatakan pegawai-pegawai Istana tidak menjenguk Tuanku Al-Sultan di Istana adalah tidak wajar. Ini kerana kita perlu memahami latar belakang yang berlaku di dalam keluarga D’Raja. Segala gerak-geri kita mestilah berpandukan kepada titah pesanan KDYMM Tuanku Al-Sultan sebelum Baginda gering dan berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Mengenai urusan pembayaran bil hospital, KDYMM Tuanku Al-Sultan mempunyai kelayakan untuk dibayar oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, sebagai doktor, Dr Amir perlu memahami prosedur kewangan kerajaan dan ianya tidak wajar dibincang melalui akhbar.

Apabila Tuanku gering dan Pemangku Raja dilantik. Pentadbiran pejabat perlu berjalan mengikut undang-undang dan pekeliling kerajaan. Segala kenyataan dibuat berpandukan pekeliling kerajaan yang dikeluarkan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan. Doktor mungkin pandai mengubat orang yang sakit tetapi mungkin perlu belajar hal-hal pentadbiran.

Sang Gurkha berharap episod ini akan selesai dengan cara kekeluargaan. Orang luar janganlah kacau daun. Negara kita ada undang-undang dan ada orang yang ditugaskan menjaga keluhuran undang-undang.

Kita berdoalah kepada Allah swt moga-moga Allah memberi petunjuk kepada orang yang benar dan jujur kepada-Nya. Ingatlah bahawa Allah mengetahui apa yang tersurat dan tersirat dan orang yang jujur akan diberi barakah oleh Allah swt dan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak, dan semasa di dunia ianya akan diberi petunjuk dan jalan yang benar untuk hidup dalam bahagia dan ketenangan.

Comments (0)