GOLONGAN mahasiswa sinonim dengan tenaga dan minda kreatif serta inovasi. Kelebihan itu andai dipacu dengan penuh hikmah ke jalan dakwah, pastinya menghasilkan impak hebat dan bermanfaat untuk agama serta masyarakat.



Usaha dakwah memerlukan momentum dan kepakaran tenaga muda. Maka golongan muda yang sudah melalui proses tarbiah seharusnya diberikan peluang berada dalam barisan mengembangkan syiar Islam.



Kehebatan tenaga pemuda ini selari dengan ungkapan indah mujadid Islam abad ke-21 Imam As-Syahid Hasan Al-Banna, "Antum ruhun jadidah tarsi fi jasadil ummah". Kamu adalah ruh baru, kamu adalah jiwa baru yang mengalir ditubuh ummat, yang menghidupkan tubuh yang mati itu dengan Al-Qur’an.



Untuk itu, mahasiswa tidak perlu berasa rendah diri dan hendaklah bijak mengaplikasikan kemahiran, kepakaran dan tenaga yang dimiliki untuk menyumbang ke arah memperkasa usaha dakwah.



Usaha dakwah merupakan tanggungjawab yang berat yang telah di galaskan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dan menjadi kewajipan bagi kita untuk bersama-sama bersatu dalam satu momentum yang kuat bagi meneruskan liku-liku jalan dakwah yang telah nabi tinggalkan untuk diteruskan oleh generasi selepas baginda, kita lah orangnya.



“Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk (kemaslahatan) manusia, kamu MENYURUH (mengajak) harus kepada yang ma’ruf (kebaikan) dan kamu MENCEGAH dari kemungkaran serta kamu BERIMAN dengan Allah”. (Surah Ali-’Imran: Ayat 110)



Dalam ayat di atas Allah Ta’ala menyatakan ketinggian dan kemuliaan orang-orang Mu’min beserta sifat-sifat yang menyebabkan mereka layak digelar sebagai “Khaira Ummah” (Ummat Yang Terbaik) iaitu :



i) Mereka menyuruh (mengajak) manusia kepada perkara-perkara yang ma’ruf (kebaikan).


ii) Mereka mencegah (melarang) manusia dan melakukan kemungkaran.


iii) Dalam usaha-usaha tersebut mereka sentiasa menjaga dan memelihara diri mereka dengan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Zaman serba canggih dengan pelbagai benda baru yang tidak dijangka oleh kita semua ini akan muncul. Walaubagaimanapun kemajuan yang ada perlu di syukuri dan mengguna segala yang dengan sebaiknnya bukan untuk menjahanamkan Islam itu sendiri.


Penemuan bidang baru seperti teknologi maklumat, perniagaan, penyiaran dan penulisan seharusnya menjadi medan dakwah yang terus disuburkan oleh golongan mahasiswa. Semua ini adalah peluang-peluang dakwah yang perlu di rebut sebaiknya.



Bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mempunyai banyak peluang untuk pakar animasi dan multimedia berdakwah. Aplikasi dan perisian jawi, bahasa Arab berbentuk permainan dan kuiz dalam talian boleh direka cipta bagi menambah nilai pengajaran pendidikan Islam.



Sementara penjualan buku dakwah melalui laman web juga boleh diusahakan pakar laman web bagi proses pengembangan ilmu semakin berkembang dengan pantas dan meluas.


Peluang dakwah dalam bidang kesenian turut terbuka luas untuk mahasiswa. Kemudahan muat turun nada dering ke telefon bimbit berunsur kesenian Islam perlu diperluas bagi menyaingi kebanjiran nada dering pop komersial yang meluas.

Sementara galakan terhadap penerbitan album nasyid bakal memberikan impak dakwah melalui kesenian. Di sinilah kepakaran penggubah lagu dan lirik lagu dakwah bergabung dengan pemilik teknologi rakaman suara untuk menghasilkan album dakwah bermatlamatkan mencari keredaan Allah.



Selain itu, Dakwah dalam bidang penyiaran sama ada radio dan media elektronik menanti golongan belia, baru-baru ini kerajaan malaysia berusaha keras membuka peluang seluas-lusnya kepada warga malaysia untuk mengisi kekosongan di dalam media penyiaran di RTM . Ini satu peluang yang tidak sepatutnya di lepaskan sama sekali. Kerjaya dalam bidang penyiaran radio Islam seperti Radio ikim.fm umpamanya mampu mendedahkan generasi muda dengan penyebaran dakwah kepada massa.



Ini melalui penerbitan rancangan berunsur keagamaan seperti temu ramah ilmiah, forum bersama tokoh agama serta drama radio dakwah. Mengambil kira pengalaman ikim.fm mengendalikan slot dakwah seperti forum bicara Ad-deen, sudut hukum, duniaku buku dan carta nasyid.


Penulisan dakwah pula kini mempunyai masa depan cukup cerah dan seharusnya menggunakan bakat penulisan kreatif bagi menghasilkan lebih banyak cerpen serta novel berunsur dakwah sebagai sumbangan untuk memacu kegemilangan Islam. Lebih daripada itu, skrip drama dan filem dakwah kini mempunyai ruang untuk ditonjolkan bagi memenuhi misi dakwah.



Laman blog juga membuka satu lagi ruang remaja dan belia untuk berdakwah pada peringkat global. Cuma kebebasan di alam maya itu tidak harus disalahgunakan. Penulis blog dakwah perlu bertanggungjawab terhadap idea yang dilontarkan.

Mahasiswa dan golongan muda sebenarnya mampu menjadi pendakwah hebat. Cuma, kelompok ini mesti menjalani proses tarbiah untuk menjadi pendakwah selain memahami keperluan dakwah itu. Semoga sumbangan belia dapat menjadikan mereka lebih matang dan memenuhi tanggungjawab menyebarkan syiar Islam kepada semua.

Comments (0)