PM Israel temui ejen Mossad, ucap selamat berjaya

LONDON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi 'lampu hijau' kepada Mossad untuk membunuh komander Hamas, Mahmoud al-Mabhuh di Dubai, awal bulan lalu, lapor akhbar The Sunday Times, semalam.

Berdasarkan maklumat sumber dalaman Mossad, akhbar itu melaporkan, pemimpin Israel itu meluluskan rancangan berkenaan kepada ketua Mossad, Meir Dagan, ketika satu mesyuarat di ibu pejabat agensi itu di Tel Aviv.

Laporan itu mendedahkan, Netanyahu melawat ibu pejabat Mossad dan disambut Meir Dagan yang membawa beliau ke sebuah bilik dan menemui anggota pasukan yang akan membunuh Mabhuh.

Mossad memiliki maklumat mengenai rancangan Mabhuh ke Dubai dan memulakan rancangan untuk membunuh beliau di bilik hotelnya. Skuad penyerang sudah memulakan latihan terhadap misi di sebuah hotel di Tel Aviv tanpa memaklumkan pemiliknya.

Mossad tidak menyifatkan operasi itu sebagai berisiko atau sukar menyebabkan Netanyahu mengizinkannya dan memberitahu ejen Mossad: "Penduduk Israel bergantung kepada anda. Selamat berjaya."

Akhbar itu juga melaporkan, Mossad menggantungkan aktiviti di Asia Barat berikutan pendedahan ejen mereka terbabit dalam pembunuhan Mabhuh.

Satu sumber Israel memberitahu akhbar itu bahawa ejen Mossad berhati-hati kerana adanya kamera keselamatan yang dipasang di Dubai.

Tetapi, ejen perisikan itu mengakui terkejut dengan keupayaan polis Dubai mendapatkan semua gambar dengan cara berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Jerman memeriksa identiti Michael Bodenheimer, nama yang muncul dalam pasport tulen Jerman yang didakwa digunakan dalam pembunuhan Mabhuh.

Pihak berkuasa di Cologne tempat pasport dikeluarkan melancarkan satu siasatan dan pihak berkuasa persekutuan mengambil langkah mereka sendiri.

Berdasarkan laporan mingguan Jerman, Der Spiegel, Bodenheimer, seorang warga Israel memohon pasport Jerman dari pihak berkuasa Cologne.

Pasport berkenaan dikeluarkan pada 18 Jun 2009. Ia digunakan oleh seorang suspek pembunuhan di Dubai pada 19 Januari sehari sebelum Mabhuh dibunuh. - Agensi

Sumeber-Berita Harian

Comments (0)